KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
29 December 2014
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA
SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda
negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur
Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah
sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada
dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut
ditenggelami air akibat banjir.
Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan
kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan
sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi
tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi
negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015
bagi negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju
untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi
tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi
bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu
dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi
negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).
Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;
a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir
serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat
persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah
hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong
pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita
dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.
Terima kasih.
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014
No comments:
Post a Comment